Setahun Saya Tunggu
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Apa khabar Kapten hari ini? Saya doakan semoga Allah sentiasa jaga Kapten di mana sahaja Kapten berada :)
Kapten suka bunga? Haha hari ini perjalanan kita akan bertemakan bunga, whether you like it or not, Kapten ! Sebab saya sangat sukakan bunga!
Mungkin saya dapat ciri ini daripada Mak. Setiap petang, Mak akan berkebun di halaman rumah kami. Cabut rumput, letak baja sekeliling pokok melati, siram pokok bunga. Baru-baru ini saya tengok ada bunga berwarna ungu mekar di dahan pokok bunga raya mak.
"Tengok ni, bunga raya purple Mak dah kembang!"
Itu hasil cross pollination. Itukah namanya? Apabila kita campurkan dua bunga daripada spesies yang berbeza kemudian terhasillah bunga yang ada kacukan kedua-dua bunga tadi. Hybrid.
Kalau manusia, kita panggil kahwin campur. Orang Taiwan kahwin dengan orang Pakistan, lahirlah anak dengan hidung mancung mata sepet.
Sekali lagi kita sudah menyimpang dari tujuan asal haha.
Saya nak ceritakan tentang bunga yang saya tunggu selama hampir setahun. Bunga apa yang mengambil masa lebih kurang setahun untuk berbunga? Ya, bunga teratai!
![]() |
| Ini bunga yang saya tunggu hampir setahun tu |
Dulu semasa kami baru pindah rumah, Mak Bapak banyak beli pokok untuk hias halaman rumah dan kolam ikan kami, dan salah satunya bunga teratai.
Lepas bunga teratai tu jatuh semua kelopaknya, saya ambil biji-bijinya dan terus Google cara-cara untuk jaga bunga teratai.
Setiap hari, saya akan tukar air dalam balang Prego yang saya guna untuk rendam biji-biji tu.
Beberapa hari kemudian, ada tunas keluar daripada biji-biji tu. Saya ingat lagi hijau daun kecil dia.
Bagaimana saya nak terangkan perasaan saya masa tu?
Waktu tu, saya rasa sayang dengan diri sendiri. Haha peliknya ayat.
Kapten pernah mengalami detik-detik dalam hidup yang membuatkan hati Kapten berkata, "kewujudan aku dalam dunia ini ada makna rupanya,"?
Itu adalah salah satu detik dalam hidup saya yang saya tak nak lupakan apa rasanya. Rasa seperti Tuhan berkata kepada saya Tuhan tak ciptakan saya untuk saya bencikan diri saya, dan tangan saya juga mampu beri manfaat kepada orang lain dan makhluk lain. Tuhan ada banyak cara untuk beritahu kita macam-macam perkara, kan?
Saya biarkan sampai tunasnya tumbuh tinggi sikit. Tunggu tinggi sikit lagi barulah saya akan pindahkan ke bekas yang lebih besar. Pasu bunga.
Satu hari, saya tengok balang Prego tu tak ada di tepi sinki, dan ada sebuah mangkuk berisi air atas meja makan dan apa lagi dalamnya? Tunas panjang berwarna hijau yang sikit lagi nak jadi batang, terpatah dua. Terapung-apung atas air tu. Seingat saya ada tiga tunas(Ke empat?entahlah).
Ah, dah nak mati dah ke? Belum ada apa-apa lagi. Daun dia kecil lagi. Batang dia kurus lagi.
Saya tak tahu nak buat apa. Tak tahu apa yang tangan saya boleh buat pun. Maklumlah, ilmu saya tak banyak lagi. (dan saya cepat gelabah)
![]() |
| Daun dia belum bukak lagi :( |
Saya cari balang lain, isi air dan letak biji-biji teratai tu dengan tunas tak berdaun tu dalam balang tu.
Lepastu saya rasa bodoh haha. Meninggi juga tunasnya dan tumbuh daun baru beberapa hari kemudian. Walaupun terpatah, tunasnya masih boleh meninggi. Maknanya dia masih hidup. Dia nak hidup.
Lepastu memori saya agak kabur yang saya ingat saya isi pasu bunga dengan tanah sikit,selebihnya dengan air dan tanam biji-biji teratai tu dalam pasu bunga tu.
"Bila dia nak berbunga?"
"Setahun lagi."
Lama saya tunggu. Saya mula rendam biji-biji teratai tu dalam air tak silap beberapa hari sebelum SPM. Semasa saya di asasi, setiap kali saya pulang, saya akan jenguk pokok teratai tu. Gembira sangat tengok daun hijau dia kembang. Saya tak ingat sangat, mungkin sampai semester dua saya tunggu.
Satu hari Mak hantar gambar bunga teratai atas tadi di Whatsapp. Kelopaknya terang sangat, warna merah jambu. Tengoklah, dulu masa dia jadi tunas, dia pernah terpatah dua sekali, sekarang kelopak-kelopak dia pandang ke langit.
Kapten tahu, tangan kita walaupun hanya ada dua, mungkin dua sahajalah yang kita perlukan untuk melakukan bermacam-macam perkara yang kita inginkan dalam hidup kita.
Dua pun sudah cukup, Kapten. Tangan kita, kaki kita, mata kita, Tuhan tak ciptakan sia-sia. Saya rasa kalau kita tak cuba untuk buat apa-apa dalam hidup kita, tak mencapai tujuanlah anggota badan kita diciptakan dengan lengkap.
Bagaimana pula dengan mereka yang tak lengkap anggota badan mereka? Mereka walaupun diciptakan begitu, tapi masih mampu melakukan pelbagai perkara hebat. Mungkin bilangan tangan dan kaki bukanlah benda yang paling penting untuk membolehkan kita untuk terus hidup.
Akan tetapi Kapten, bunga sifatnya dia layu. Jangka hidup bunga tak lama macam kita. Ini pun saya tak berapa ingat, mungkin berminggu sahaja jangka hidup bunga teratai tu. Mungkin juga berhari. Tak ingatlah. Sampai sekarang saya rasa mungkin kalau saya melakukan sesuatu, jangka hidup bunga teratai itu akan menjadi lebih panjang. Tak mengapalah, benda dah lepas.
Sedih jugalah, lama saya tunggu nak lihat warna kelopak bunga teratai tu.
Kapten, waktu tu saya rasa sedih kerana bunga tu hidup sekejap sahaja, tetapi saya bersyukur saya kutip biji-biji teratai tu setahun sebelumnya.
Bunga teratai tu walaupun jangka hidupnya sangat pendek, dia masih tersenyum pandang langit dengan kelopak-kelopak merah jambunya tu.
Kapten, sebenarnya ada lagi benda yang saya nak tuliskan di sini, tapi saya rasa macam dah panjang sangat pula entri saya kali ini.
Mungkin di hari lain, kita sembang tentang bunga lagi, okey Kapten?
Okey ini last, tapi saya nak kata, Tuhan ciptakan kita dengan satu tujuan yang sama.
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” (QS. Adz Dzariyat: 56)
Tapi Kapten, saya rasa setiap daripada kita juga ada tugas yang memang untuk kita sahaja lakukan. Sebagaimana saya rasa Tuhan hidupkan bunga teratai tu khusus untuk menyedarkan saya tentang pelbagai benda tentang hidup dan dunia ini. Macam Tuhan ciptakan malaikat siap-siap dengan tugas mereka yang spesifik. Bezanya dengan malaikat, kita semua tahu tugas malaikat, dan mereka pun tahu tugas mereka. Kita pula, kita perlu cari tugas kita itu. Kapten rasa,bagaimana?
Kalau Kapten belum jumpa lagi, saya doakan suatu hari nanti Kapten akan jumpa sebab dan makna kewujudan Kapten dalam dunia ini.
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Comments
Post a Comment