Mari Bersembang di Kedai Roti

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

1. Nama Saya Maryam. 
2. Umur saya pada tahun 2017 adalah 19 tahun.
3.Saya menetap berasama keluarga di Melaka. Ayer Keroh. 
4.Saya suka minum kopi, sebut sahaja kopi apa pun, lidah saya kenal pahitnya     macam mana.
5. Saya adalah anak ketiga daripada lima adik-beradik (yang sangat riuh).
6. Saya pakai cermin mata. 

Ada dua benda lagi yang ingin saya bagitahu anda di sini, satu; mulai hari ini saya akan panggil anda Kapten. Kedua, tiga daripada enam perkara yang saya nyatakan di atas adalah benar, dan selebihnya tidak benar. Mungkin di semesta yang lain, keenam-enamnya benar, dan di semesta yang lain lagi, semuanya tidak benar. 

Kapten, awak pernah dengar tentang teori parallel universe?

 Orang kata wujud semesta lain selain yang kita hidup dalamnya sekarang ni.Disebabkan itu, wujud juga pelbagai versi diri kita Contohnya, dalam semesta ini, saya seorang arkitek yang gemar menonton rancangan masakan setiap malam Sabtu. Dalam semesta lain, saya seorang tukang masak yang mempunyai lima ekor kucing menanti saya di rumah setiap hari. Dalam semesta lain lagi, saya adalah Perdana Menteri Malaysia . 

Adakah saya percaya akan kewujudan semesta-semesta lain tersebut? Tidak haha tapi kalau Kapten tahu tentang teori ini dan percaya dengannya bolehlah ceritakan kepada saya di ruangan komen. Lagipun, setakat itu sahajalah saya tahu tentang teori tersebut. 

Kapten, saya minta maaf nampaknya saya tersasar sedikit daripada tujuan asal kita hari ini. Mari kita kembali ke landasan asal.

Berbalik kepada enam pernyataan tadi, tiga daripadanya adalah tidak benar. Ya, saya telah menipu Kapten hari ini. Akan tetapi, kalau saya tak bagitahu tiga daripadanya adalah tipu, adakah Kapten akan tahu? Kalau Kapten kenal saya di dunia sebenar, Kapten akan tahu (mungkin juga tak). Saya tak fokus kepada anda hari ini, Kapten Yang Mengenali Siapa Saya. Saya nak fokus kepada Kapten Yang Tak Mengenali Siapa Saya. Haha. 

Adakah mereka yang kita kenali di Internet, media sosial khususnya, memberitahu kita perkara-perkara yang benar tentang diri mereka? 

Adakah penting sama ada apa yang orang beritahu kita di alam maya ini benar atau tidak? 

Bagi saya penting. Lebih-lebih lagi dalam menyampaikan berita. Kapten masih ada akaun Facebook? Ramai orang umur saya sudah delete akaun Facebook mereka. 

Ramai orang gunakan Facebook untuk menyampaikan berita, dan sebilangan daripada mereka menyampaikan berita palsu, sebilangan daripada golongan ini sendiri tak tahu berita yang mereka sebarkan itu palsu. Semestinya berita-berita yang disebarkan di alam maya ini akan memberi kesan kepada orang yang mempercayainya kerana ada berita yang membuatkan kita rasa takut, marah, dan lain-lain. Contohnya apabila kita menyebarkan berita palsu tentang seorang guru yang mencuri kasut guru-guru lain dengan ayat-ayat yang berapi-rapi berserta gambar yang nampak meyakinkan walaupun agak kabur. Apa agaknya kesannya kepada guru tersebut? 

Ya, pelajar tak akan hormat padanya lagi, guru-guru lain tak ingin berkawan dengannya lagi, dan kalau guru besar sekolah tersebut jenis yang mudah percaya dengan apa dibaca di Facebook, guru tersebut berkemungkinan akan kehilangan kerjanya. Semuanya kerana tangan-tangan kita yang menaip ayat-ayat tersebut dalam bilik tidur kita . Jadi, bagi saya, penting untuk kita tahu berita yang disebarkan di Internet adalah benar atau tidak.

Akan tetapi Kapten, adakah penting  sama ada kenyataan nombor 2 di atas adalah benar ataupun tidak kepada saya dan kepada Kapten? Sekiranya pernyataan tersebut tidak benar tapi Kapten mempercayainya, apakah kesannya kepada Kapten dan kepada saya?

Bagi saya, penting, kerana Kapten, keputusan saya untuk mula menulis blog ini menandakan saya bersedia untuk tunjukkan kepada Kapten cebisan-cebisan diri saya dan hidup saya. Saya ingin Kapten mengenali saya melalui tulisan-tulisan yang akan datang (doakan blog ini takkan berhabuk lama sangat) sebagai kawan di alam maya,bukan sebagai sebuah karakter. Sampai maksud tak? haha

Apakah pula kesannya? Entahlah, rasa macam saya menipu kawan sendiri. 

Akan tetapi, saya akan melukis beberapa garisan sempadan supaya saya tak mendedahkan terlalu banyak tentang diri saya di sini. 

Kapten pernah dengar istilah persona? Saya petik daripada dictionary : cara kita berkelakuan dengan orang lain atau dalam sesuatu situasi, yang memberikan orang idea atau anggapan tertentu tentang karakter kita. (sorry if my translation is bad) 

Perkataan persona datangnya daripada bahasa Latin, maksudnya topeng. Jadi saya bayangkan saya sedang bersembang dengan Kapten di sebuah kedai roti, tetapi kita tak duduk semeja.Saya duduk lima meja jauhnya dari Kapten dan saya pakai topeng, tapi bukan full mask. Kapten boleh nampak mata kanan saya, dan mata kanan saya sahajalah Kapten boleh nampak dengan jelas. Itu sahajalah yang saya bagi Kapten nampak. Selebihnya saya tutup. Haha leceh betul kan bila nak bersembang, tapi tak duduk semeja. 

Begitulah kawan-kawan saya di dunia sebenar mengenali saya, dan saya mengenali mereka. Saya tak tunjukkan semua benda tentang diri saya kepada mereka, dan begitu juga mereka. Mereka hanya tahu apa yang saya beritahu, selebihnya adalah tanggapan atau idea mereka tentang diri saya,dan begitu jugalah mereka.

Selama mana pun kita mengenali seseorang itu, kita takkan mengenali mereka sepenuh-penuhnya. Adakalanya saya rasa kata-kata itu memang betul, tapi saya tak pasti apa yang saya patut rasa.

Baiklah, saya akan akhiri post kali ini di sini dan biar Kapten teka daripada enam pernyataan di atas, yang mana tidak benar . Tinggalkan jawapan anda di ruangan komen! hahaha

Hari lain kita bersembang lagi di kedai roti ini, okey Kapten? 
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.



Comments

Spotlight

Setahun Saya Tunggu